Berita Domestik

Jelas Dilihat, Selamat Tunggangan

on

img_2335

Sebagai salah satu syarikat pengeluar motosikal di negara ini, Kawasaki Motors Malaysia telah memainkan peranan dan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat dengan menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2017 dengan tema “Jelas Dilihat, Selamat Tunggangan”. Acara ini telah diadakan di plaza tol Sg Besi Kuala Lumpur arah selatan pada 6 Januari 2017 dan dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato’ Sri Liow Tiong Lai.
img_2334
Melalui kempen ini pihak syarikat Kawasaki Motors Malaysia telah menjalankan Pemeriksaan Keselamatan 16 Bahagian Motosikal secara percuma kepada para penunggang motosikal. Disamping itu terdapat juga booth pameran dari agensi dan syarikat korporat yang mengambil bahagian dalam kempen hari ini. Para pemilik motosikal yang datang awal untuk kempen ini juga telah berpeluang untuk menukarganti topi keledar mereka dengan yang baharu secara percuma, di samping dihadiahkan jaket keterlihatan tinggi sesuai dengan tema kempen kali ini.
img_2341
Bilangan pengguna jalanraya di Malaysia semakin meningkat dari hari ke hari dan jumlah kemalangan jalan raya setiap tahun juga tidak mencatatkan penurunan dengan kadar kematian tidak pernah kurang dari 6,000 setiap tahun sejak dari 10 tahun yang lepas. Saban tahun menjelang musim perayaan, media massa mahupun media sosial akan memaparkan pelbagai isu kemalangan jalan raya yang meragut nyawa mahupun melibatkan kecederaan parah.
img_2348
Dalam ucapannya Liow menyatakan bahawa walaupun pelbagai program, peraturan dan penguatkuasaan telah di jalankan oleh pihak kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), namun statistik kemalangan masih membimbangkan. Jumlah kemalangan pada tahun 2015 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 2.8% kepada 489,606 jika dibandingkan dengan 476,196 kemalangan pada tahun 2014.

Beliau juga menambah bahawa selain daripada undang-undang dan aktiviti penguatkuasaan oleh pihak berkuasa, sikap pengguna jalan raya juga adalah sangat penting dalam memastikan kadar kemalangan dapat dikawal dan diturunkan. Sikap positif dan hormat terhadap pengguna lain perlu diamalkan agar pengguna lebih bersabar dan sating bertolak ansur semasa berada di jalan raya. Antara kunci utama dalam langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya adalah tidak mementingkan diri sendiri sewaktu menunggang atau memandu kenderaan. Jika sikap ini diamalkan dan dititik-beratkan oleh pengguna jalan raya, Menteri Pengangkutan ini yakin risiko berlakunya kemalangan akan menjadi lebih rendah.

Disamping itu, terdapat sebilangan pengguna jalan raya yang mengambil kesempatan menggunakan laluan kecemasan apabila berlaku kesesakan jalan raya disebabkan oleh kemalangan yang berlaku. Beliau turut menegaskan bahawa lorong kecemasan dikhaskan untuk keadaan kecemasan sahaja dan hanya penggunaan kenderaan kecemasan seperti ambulans, Polis serta Bomba dan penyelamat dibenarkan bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dijalankan.

Kempen kali ini merupakan kempen keselamatan jalanraya Tahun Baharu Cina kali kedua yang dianjurkan Kawasaki Malaysia.

Recommended for you

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *