Berita Domestik

Bukan mudah dan murah bawa pulang jenazah kemalangan dari Thailand – Cikgu Joe

on

Selasa lalu rakyat Malaysia menerima berita yang menyedihkan bila seorang penunggang superbike jenis Kawasaki Ninja ZX-14, Jaafary Jaafar mengalami kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Ban Pru, bandar Haatyai, Thailand.

Jaafary meninggal serta merta sementara isteri beliau yang juga membonceng hanya mengalami kecederaan ringan.

Laporan kemalangan tersebut boleh dibaca di laman web Harian Metro pada pautan ini sementara video kemalangan pula ada dikongsi di pautan ini.

Rakan Careta di Satun, Thailand, Johari Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Joe telah diminta untuk membantu keluarga mangsa untuk proses membawa jenazah kembali ke Malaysia.

Cikgu Joe - guru sukarela mengajar Bahasa Melayu kepada penduduk Thai di Satun.

Cikgu Joe – guru sukarela mengajar Bahasa Melayu kepada penduduk Thai di Satun.

Cikgu Joe dengan ikhlas turun membantu kerana beliau faham akan kesukaran untuk membawa jenazah keluar dengan segera.

Dengan bantuan Cikgu Joe dan isterinya, Karlisa Latisya, warga Thai yang menjadi pemandu pelancong berlesen di sana, jenazah Jaafary berjaya dibawa pulang dalam masa dua hari.

Menurut Cikgu Joe, proses tersebut bukan mudah dan memerlukan kepakaran berbahasa Thai.

“Selalunya, ia akan mengambil masa lebih dari tiga hari,” kata Cikgu Joe.

Di sini Cikgu Joe sudi berkongsi informasi akan proses yang dilalui untuk membawa pulang jenazah Jaffery.

hm-jaffry-careta

 

Perkongsian ini adalah sebagai sumber informasi untuk semua, dan bukan atas niat lain.

Proses menuntut jenazah dan membawa pulang ke Malaysia (berdasarkan kes Allahyarham Jaafary Jaafar yang meninggal dunia dalam kemalangan di HatYai, Thailand).

Proses mendapatkan sijil kematian.

  • Waris mangsa perlu hadir
  • Saksi yang berada di lokasi kejadian
  • Nama penuh mangsa
  • Nama isteri
  • Nama ibubapa mangsa
  • Perlu tahu apa pekerjaan mangsa
  • Alamat tempat tinggal terkini mangsa
  • Passport mangsa (diterjemahkan ke Bahasa Thai)
  • Laporan post mortem dari hospital
  • Laporan polis
Sikap pengguna jalanraya di Thailand berbeza dari di Malaysia.

Gambar hiasan. Sikap pengguna jalanraya di Thailand berbeza dari di Malaysia.

Sijil kematian akan dikeluarkan oleh Thesaban atau Pejabat Pentadbiran Daerah di lokasi kejadian. Selepas sijil kematian diterima:

  • Terjemahkan ke Bahasa Inggeris
  • Bawa ke pejabat Konsul Malaysia berhampiran dan laporkan kejadian dan minta bantuan untuk bantu urus jenazah dibawa pulang ke Malaysia
  • Pegawai-pegawai di Konsulat General Malaysia akan membantu memeriksa dan mengesahkan dokumen-dokumen berkaitan.
  • Wakil konsulat atau duta akan membawa anda ke Pejabat Kementerian Dalam Negeri Thailand untuk mendapatkan surat kebenaran membawa pulang jenazah bagi pelepasan imigresen Thailand dan Malaysia.
  • Wakil konsulat juga akan membantu menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk proses permohonan tersebut (contohnya laporan hospital, laporan polis dan sebagainya).

Antara kos yang perlu ditanggung:

  • Kos terjemahan dokumen (passport mangsa dari Bahasa Inggeris ke Thai dan dokumen-dokumen serta sijil kematian dari Thai ke Bahasa Inggeris) – THB1000
  • Kos rawatan sehari untuk mangsa yang cedera minima – THB18,650
  • Keranda – THB5000
  • Van jenazah dari HatYai ke sempadan – THB3500
  • Van jenazah dari sempadan ke Johor Bahru – RM4,000 (jika dari Hatyai ke JB – lebih dari MR5,000)
  • Itu adalah antara prosidur dan kos yang dikongsikan oleh Cikgu Joe dalam kes tersebut.
Gambar hiasan. Berhati-hati bila memandu/menunggang di negara asing.

Gambar hiasan. Berhati-hati bila memandu/menunggang di negara asing.

Cikgu Joe ingin mengucapkan terima kasih kepada:

  • Konsulat Malaysia di Songkhla
  • Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand
  • Polis Pelancongan Thailand
  • Polis Sempadan Thailand
  • Kementerian Dalam Negeri Thailand dan
  • Pejabat Pentadbiran Ban Pru

Menurut Cikgu Joe dan isterinya, mereka itu yang banyak membantu dalam memastikan pengurusan menghantar jenazah kembali ke Malaysia dapat dilakukan dalam masa yang singkat.

“Kedudukan isteri saya sebagai pemandu pelancong berlesen di Thailand sebenarnya turut menjadi faktor penting yang membantu melicinkan proses penghantaran jenazah,” terang Cikgu Joe.

Beliau terpaksa tinggal di Hatyai selama dua malam untuk membantu menguruskan proses tersebut.

“Alhamdulillah, saya menerima dana bantuan dari Yayasan Al Amin Alor Setar untuk meringankan beban,” terang Cikgu Joe.

travel-insurance-careta

Beliau menasihatkan kepada rakyat Malaysia yang ingin beriadah di Thailand agar mengambil insurans perjalanan (travel insurance) agar sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini, sebahagian kos dapat ditanggung oleh pihak insurans.

Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, hubungi polis pelancong Thailand dan Konsulat Malaysia yang terdekat.

Ia juga membantu sekiranya anda mempunyai sahabat di Thailand.

“Nasihat saya, perlu tahu prosidur membawa pulang jenazah dari sebuah negara asing tidak mudah. Ada banyak prosidur dan borang yang perlu disediakan,” terang Cikgu.

“Pihak keluarga juga harus peka dan tidak terlalu memaksa menyegerakan proses kerana konsulat Malaysia hanya boleh membantu dan mereka sendiri perlu mengikut prosidur perundangan negara tersebut.”

“Kita tidak boleh mencampuri urusan kerajaan negara mereka kerana itu cara mereka. Perlu hormat kerana kita berada di negara orang,” tambah Cikgu lagi.

Pastikan penganjur dan marshal konvoi anda lengkap ilmu di dada. Gambar hiasan dari Serdang Motor.

Pastikan penganjur dan marshal konvoi anda lengkap ilmu di dada. Gambar hiasan dari Serdang Motor.

Sebenarnya, Cikgu Joe sangat aktif dalam membantu rakyat Malaysia yang berada di dalam kesusahan di wilayah selatan Thailand. Kebanyakannya adalah pengembara yang sedang beriadah di wilayah selatan Thailand kerana beliau sendiri tinggal di Satun.

Jarang kita boleh jumpa seorang seperti Cikgu Joe yang sanggup meninggalkan rumah semata-mata untuk membantu rakyat Malaysia yang beliau sendiri tidak kenal.

“Kita perlu bantu rakyat dari negara kita sendiri,” terang Cikgu Joe.

“Di Thailand, semua urusan memerlukan wang dan kita perlu bersedia,” sambungnya.

Artikel mengenai tip-tip melawat ke Thailand secara menunggang atau memandu pernah dikongsi bersama pembaca Careta di pautan ini:

Memandu atau menunggang di Thailand? Baca dahulu tips dari Johari ini!

Cikgu Joe juga pernah memberikan tip dan nasihat untuk melawat Thailand yang sedang berkabung. Artikel tersebut boleh dibaca di pautan ini.

Thailand berkabung – ambil perhatian untuk yang ke Thailand sekarang

Untuk menghubungi Cikgu Joe atas urusan pelancongan (beliau boleh menawarkan pakej-pakej pelancongan secara berkumpulan atau berseorangan lengkap dengan makanan halal), nombor beliau ialah +666 2972 8939 (Thailand)

Alamat beliau ialah Cikgu Malaysia, 183, M5 , T Ban Khuan , A Mueng Satun , 91140, Thailand.

Careta nasihatkan kepada yang meminta bantuan Cikgu Joe diharapkan agar membantu beliau juga dari segi kos supaya dapat meringankan bebannya.

Di bawah pula ialah alamat dan nombor telefon Konsulat General Malaysia untuk daerah selatan Thailand.

Alamat
No. 4 Sukhum Road
90000 Songkhla
Thailand

Telefon: (+66) 74 311 062, (+66) 74 316 274
Faks: (+66) 74 324 004
Email: mwsongkhla@kln.gov.my
Lama web: www.kln.gov.my/web/tha_songkhla/

Ingat, halaju kebangsaan di Thailand hanyalah 90 kmsj. Cara pemanduan rakyat Thailand sangat berbeza, maka sentiasa peka dan jangan bawa laju, terutama di persimpangan.

Berwaspada ketika kita berada di tempat orang lain kerana bukan semua tempat akan ada insan budiman seperti Cikgu Joe kita untuk membantu.

Konvoi motosikal sering melawat Thailand, dan sudah ada yang menconteng arang dengan menipu bengkel-bengkel di Thailand.

Recommended for you

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *