Motosikal

BOBR – versi Kawa ER-6 radikal dari Kenny

on

Pasti ingat pereka motosikal Kenny Yeoh yang pernah Careta paparkan awal tahun dahulu.

Hasil ciptaan pertama Kenny, P650 R juga berdasarkan motosikal Kawasaki ER-6 tetapi diubah-suai menjadi sesuatu yang sangat menakjubkan.

Kemudian Kenny menghasilkan The Demolisher, motosikal custom berdasarkan Benelli TNT 600 milik pelanggannya, Firdaus Kadir.

web-bobr-v2-1

Tidak sampai setahun, Kenny yang bertugas sebagai ketua Jabatan R&D dan Rekabentuk untuk syarikat SKS Bus Sdn Bhd muncul dengan BOBR, adaptasi cruiser-bruiser dari Kawasaki ER-6 juga.

Pilihan menggunakan ER-6 sebagai platform projek BOBR ialah kerana ia mudah didapati di pasaran terpakai dan harganya mampu milik.

“Saya juga sudah arif dengan ER-6, kerana projek P650 R dahulu. Dan lagipun, ada banyak komponen aftermarket untuk ER-6,” terang beliau.

web-bobr-v2-3

Di bawah ialah cerita serba ringkas akan projek BOBR ini.

  • Kenny menghabiskan tiga bulan untuk menyiapkan projek BOBR.
  • Nilai komponen sahaja, tidak termasuk motosikal, sudah melebihi RM20,000.
  • Subframe belakang dibuang dan diganti dengan satu yang lebih rendah dan cukup untuk memuatkan sebuah pelana sahaja, sesuai dengan gaya cruiser.
  • Lampu belakang digantikan dengan sebaris LED yang mempunyai fungsi lampu brek dan lampu belok.
  • Keseluruhan bahagian hadapan dibuang dan lampu diganti dengan unit rekaan Kenny sendiri yang terdiri. Lampu utama sebenarnya ialah dua lampu bersaiz 38 mm jenis Shinyo di kiri dan kanan radiator. Lapan lampu LED disusun dalam dua barisan di hadapan itu sebenarnya berfungsi sebagai lampu DRL!

web-bobr-17

  • Fork hadapan dibuang dan digantikan dengan fork ZX-10R. Triple-clamp bawah dari Versys diambil untuk memegang fork upside-down tersebut sementara triple clamp atas dilarik sendiri oleh Kenny menggunakan mesin pelarik moden dengan ukuran laser. Hasilnya, fork depan dibaring sikit ala cruiser – langsung mengubah terus posisi ER-6.
  • Panel meter asal turut dibuang dan digantikan dengan panel dari Motorgadget Pro dengan paparan LCD sepenuhnya. Kenny nyata mengutamakan mutu dan sanggup menggunakan komponen yang terbaik.
  • Seperti sebuah cruiser sejati, lubang kunci kini berada di tepi sebelah kiri. Terkial-kial juga Careta mencari di mana hendak mencucuk kunci pada mulanya.

web-bobr-6

  • Cruiser mempunyai tayar yang gemuk dan BOBR ini diberikan tayar belakang dari ZX-10R bersaiz 180/55-17 sementara tayar hadapan pula bersaiz 140/70-17 (sebenarnya, tayar hadapan itu asalnya sebuah tayar belakang!).
  • Kenny mahukan sesuatu yang yang rendah dan panjang. Fork hadapan sudah dicondongkan seperti cruiser dan di bahagian belakang, Kenny memanjangkan lagi titik engsel lengan ayun atau swingarm itu sementara lengan ayun itu sendiri kini lebih panjang, menjadikan jarak antara roda BOBR ini jauh lebih panjang dari yang asal.
  • Tugas meredam ayunan spring gantungan belakang diserahkan kepada sebuah penyerap hentak (shock absorber) dari jenis Ohlins.

web-bobr-24

  • Seperti biasa, Jaz Airbrush ditugaskan untuk mengecat keseluruhan badan BOBR ini, dan ia bukan sesuautu yang murah juga. Kenny seperti biasa mahukan kualiti dan lihat sahaja corak cat pada penutup lampu DRL dan tangki BOBR tersebut – sangat teliti dan kemas. Sesuai dengan tkonsep custom bertaraf dunia ini.
  • Kedua paip ekzos ditarik keluar ke sisi kanan motosikal ini dan jika dikaji, ia sebenarnya paip-paip besi yang dikimpal dan bukan dibengkokkan.
  • Menunggang BOBR ini tidak sukar – malah sama seperti menunggang cruiser biasa cuma anda benar-benar duduk rendah. Untuk penulis yang setinggi enam kaki, kedudukan kaki memang bengkok sedikit.

web-bobr-14

  • Tempat pemijak kaki disantak keluar agar penunggang lebih mudah menunggang dan kaki dapat diletak dengan selesa.
  • Capaian suis dan segalanya masih hampir dengan yang asli, memudahkan lagi tunggangan.
  • Oleh kerana setiap komponen diukur dan dibuat teliti, tidak ada masalah untuk menunggang BOBR setiap hari sebenarnya. Cuma mungkin ketika hujan, penunggang akan kotor sedikit keraana tidak ada mudguard di hadapan dan mudguard di belakang terlalu pendek.

Mungkin ada yang berkata projek ini boleh dicapai jika ada bajet sebesar Kenny, namun seorang yang tahu akan kerja custom pasti tidak bersetuju kerana ia memerlukan kepakaran dalam rekabentuk, memprogram komputer dan juga pengalaman serta kesabaran untuk mencapai apa yang dilakukan oleh anak jati Pulau Pinang ini.

Untuk menghubungi Kenny, PM beliau di Facebook /www.facebook.com/kenstomoto

Untuk membaca mengenai motosikal Demolisher dari Kenstomoto, klik pada pautan ini. 

Untuk membaca artikel pertama di dunia tentang Kenny, klik pada pautan ini.

Recommended for you

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *