Pandu Uji

Cuba dulu baru tahu – Camry 2.0G X

on

Memang normal untuk kita menghukum seseorang berdasarkan rupa sahaja sebelum kita benar-benar menilai siapa diri mereka itu.

Sama seperti kereta, persepsi jenama sering menjadi sebab sebuah model itu dikatakan tidak bagus dan dalam konteks Toyota Camry, ramai berkata ia sebuah kereta untuk orang tua.

Mungkin kerana model-model Camry sebelum ini mempunyai rekabentuk yang dikira sedikit mendatar namun pada ketika itu, Camry memang disasarkan kepada mereka yang lebih senior.

Sebenarnya, untuk segmen D, hampir kesemua model yang berada di dalam pasaran lebih fokus kepada keselesaan dan kemewahan kerana itulah yang diinginkan oleh majoriti pembeli.

Jadi jika keselesaan dan kemewahan yang dimahukan, maka Toyota Camry varian 2.0G X yang baharu diperkenalkan ini wajib untuk dipandu uji kerana kami sendiri tidak sangka ia menarik.

Ikuti laporan pandu uji kami di sini.

toyota-camry-20gx-2016-web-48

  • Varian X ini ialah tambahan kepada varian Camry 2.0G yang sedia ada. Ia dihasilkan untuk mereka yang mahukan aksesori tambahan dan kemewahan yang ada pada model 2.5 Hybrid Luxury tetapi tidak memerlukan enjin yang besar itu.
  • Aksesori yang ada pada Camry 2.0G X ini termasuk:
    • Pad pengecaj tanpa-wayar Qi.
    • Panel coklat Mughal Teak pada papan pemuka, konsol tengah dan kulit pintu.
    • Sarung tuil gear (gear lever boot) dari kulit premium
    • Pelindung matahari pada cermin belakang dan cermin sisi belakang.
    • Perakam video digital (optional sebenarnya)

toyota-camry-20gx-2016-web-16

  • Tempat duduk dari kulit warna merah gelap
  • Roda aloi 17-inci
  • Skrin sentuh 7-inci (navigasi adalah optional – tambahan RM1,484) lengkap dengan WiFi, port USB, HDMI, Bluetooth dan Guide Lines untuk kamera undur
  • Tempat duduk pemandu dengan kawalan elektrik 8-cara dan Lumbar Support
  • Tempat duduk penumpang hadapan dengan kawalan elektrik 8-cara dan suis sisi
  • Sistem keyless sepenuhnya (Entry dan Start/Stop Button)

toyota-camry-20gx-2016-web-14-2

  • Dari segi enjin pula, ia sama dengan Camry 2.0E. Enjin 6AR-FSE dengan sesaran 1,998cc, 4-silinder sebaris dengan 16 injap, DOHC dan VVT-iW (Variable Valve Timing-intelligent Wide) pada injap kemasukan dan VVT-i pada injap ekzos.
  • VVT-iW bermaksud pada bebanan rendah (low-load), sistem komputer akan menggunakan kitaran enjin Atkinson yang diubahsuai untuk mendapatkan penjimatan bahan bakar yang maksimum. Pada kelajuan tinggi pula, komputer akan kembali kepada kitaran enjin Otto (kitaran proses enjin biasa) untuk penghantaran tenaga yang lebih lancar dan berprestasi tinggi.
  • Tenaga maksimum ialah 166 hp pada 6,00 rpm dan kadar tork ialah 199 Nm pada 4,600 rpm.
  • Transmisi pula ialah 6-kelajuan automatik dengan Super ECT dan Sequential Shifter dan tuil gear susunan bersenggat (gated shifter). Ini ialah transmisi baharu yang diperkenalkan pada generasi Camry itu.

toyota-camry-20gx-2016-web-9

  • Sistem gantungan hadapan ialah pegas MacPherson dengan penstabil dan di belakang pula ialah Dual Link Independent Strut, juga dengan penstabil.
  • Kawalan stereng ialah bantuan kuasa elektrik (EPS)
  • Lampu hadapan ialah dari jenis HID Projector dengan DRL jenis LED. Lampu belakang pula LED.
  • Dari segi keselamatan, Camry generasi ini lengkap dengan EBD, BA, ABS dan Vehicle Stability Control (VSC) serta Traction Control.
  • Ada tujuh beg udara diberikan dengan tempat duduk hadapan lengkap fungsi WIL (Whiplash Injury Lessening) – khusus untuk mengurangkan risiko kecederaan leher bila dilanggar dari belakang.
  • Pemegang ISOFIX pula hanya ada untuk tempat duduk belakang
  • Dari segi luaran, bodykit yang dipasang menyerlahkan rekabentuk Camry ini. Harus diingatkan, Aerokit yang terdiri dari spoiler bamper hadapan, spoiler penutup but, skirting tepi dan spoiler bamper belakang berharga RM3,169.40 (termasuk GST).
  • Terus-terang kami boleh katakan, Camry ini sama seperti Honda Accord – tidak menawarkan pemanduan yang terlalu agresif. Namun begitu, berbanding dengan model Camry sebelumnya, ia mempunyai kawalan badan yang lebih dinamik.
  • Selekoh panjang boleh diambil dengan kelajuan tinggi tanpa masalah berbuai tetapi untuk jalan yang sempit dan berliku seperti jalan lama Gombak-Karak, stereng, sistem gantungan dan transmisi perlu bekerja kuat jika pemandu agresif. Ia mudah untuk “understeer”, di mana roda hadapan akan menyasar tetapi ini sengaja dilakukan demi keselamatan pemandu. Jangan khuatir kerana sistem VSC akan membantu untuk mengembalikan kawalan kepada pemandu.

toyota-camry-20gx-2016-web-59

  • Yang paling penting ialah bagaimana Camry ini bergerak di persekitaran bandar. Kami memandu Camry 2.0G X ini di sekitar Petaling Jaya, Glenmarie dan Shah Alam di mana ada sesetengah jalanraya itu mempunyai permukaan mirip seperti di bulan. Namun, keselesaaan tetap di tahap tertinggi kerana Toyota ini seperti menyerap segala lubang dan bonggol seperti sepan. Tidak keterlaluan untuk kami samakan ia seperti sebuah Lexus ES atau GS.
  • Paling kami suka ialah hantaran tenaga dari enjin ke transmisi dan ke roda hadapan. Ia dilakukan dalam suasana yang sangat premium. Tidak terasa murah dan jika kita sebagai penumpang menutup mata sambil dipandu, pasti terasa seperti duduk di dalam kabin sebuah limousine dengan harga RM400,000.
  • Ruang kaki di belakang luas dan tempat duduk kulit “maroon” itu terasa dan berbau mahal. Naikkan pelindung matahari di cermin belakang dan cermin sisi, gunakan butang kawalan sisi untuk menolak tempat duduk penumpang hadapan ke depan agar ada lebih ruang kaki, dan anda pasti terasa seperti seorang Perdana Menteri. Turunkan alas lengan di tengah dan letakkan secangkir kopi panas – anda memang boleh bayangkan bagaimana Jose Mourinho dipandu ke stadium untuk melihat aksi pasukannya.

toyota-camry-20gx-2016-web-7-2

Sebagai penyudah laporan kami, mari kita fikirkan siapakah yang sesuai untuk menggunakan sebuah Camry.

Jika anda ialah seorang pengurus atau eksekutif tinggi dan sering keluar menghadiri mesyuarat, pastinya anda mahukan sebuah sedan segmen D yang mewah, selesa dan paling penting – lasak.

Kos servis yang mampu juga antara faktor penting kerana anda tidak mahu sebuah kenderaan yang datang dengan kos penyelenggaraan yang tinggi. Sesuai dengan Camry yang berharga dari RM152,900 (Camry 2.0G X pula berharga dari RM159,900).

toyota-camry-20gx-2016-web-1-3

Toyota juga menjanjikan pusat servis yang modern dan tangkas – masa servis yang diambil sangat minima dan Toyota mempunyai banyak pusat servis bertaraf profesional.

Untuk anda yang percaya kereta itu sepatutnya “bekerja” untuk anda – Camry 2.0G X adalah umpama pekerja terbaik anda – kemas, mesra, boleh diharap dan bergaji minima.

Dan sekarang ini, promosi hujung tahun yang menjanjikan rebat tunai sehingga RM10,000 untuk model Camry, model ini tiba-tiba menjadi sangat menarik.

Pilihan cerdik bukan?

Recommended for you

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *