Berita Global

6 sebab kenapa kereta elektrik masih tertinggal di belakang kereta enjin pembakaran dalam

on

Kereta-kereta elektrik telah berada di alam permotoran semenjak dari awal kurun ke-19. Jika dilihat pada sejarah perlumbaan kereta terpantas di darat, kereta-kereta elektrik memegang rekod kelajuan terpantas di darat sejak beberapa lama sebelum kereta pembakaran dalam mendominasi dunia permotoran. Contohnya Le Jamais Contente, sebuah kereta elektrik yang dipandu oleh Camille Jenatzy merupakan kereta terpantas di hujung kurun ke-19 apabila berjaya menjadi kenderaan pertama yang mencecah kelajuan 100kmsj.

Le Jamais Contente

Le Jamais Contente bersama pemandunya Camille Jenatzy

 

Walaupun mempunyai pelbagai kelebihan, antaranya kerana mempunyai sistem penghantaran kuasa yang ringkas kerana hanya mempunyai sistem bateri dan motor elektrik, juga dengan pemanduan yang senyap dan tiada pencemaran,  kereta-kereta elektrik mempunyai kekurangan seperti bateri yang terlalu  berat dan teknologi bateri cas semula yang masih tidak berkembang.

Disebabkan itu kereta-kereta enjin pembakaran dalam yang lebih cepat melalui proses kemajuan semenjak mula diperkenalkan pada akhir kurun ke-19, telah menenggelamkan kereta-kereta elektrik bermula awal kurun ke-20.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan teknologi bateri cas semula yang semakin maju telah membolehkan kereta-kereta elektrik dari pelbagai pengeluar kereta timbul kembali. Malaysia juga tidak ketinggalan dengan pelbagai jenama kereta elektrik telah diperkenalkan dan yang terbaru, kereta elektrik dari sebuah syarikat automotif yang dihormati dari China, BAIC telah menjadi pemasang kereta elektrik pertama di Malaysia.

BAIC EV200, yang mempunyai bateri berkapasiti 30kWh hanya memerlukan kos bil elektrik TNB (21.80 sen per kWh untuk 200kWh pertama) bermula dari RM6.60 untuk perjalanan sejauh 200km sebelum baterinya kehilangan kuasa. Walaupun begitu menjimatkan, BAIC EV200 dan kereta-kereta elektrik yang lain masih mempunyai pelbagai kelemahan jika dibandingkan dengan kereta-kereta enjin pembakaran dalam kerana beberapa sebab.

Di sini kami senaraikan enam sebab kenapa kereta elektrik masih ketinggalan berbanding kereta-kereta enjin pembakaran dalam.

Gambar dari GM Corporat Newsroom

Gambar dari GM Corporat Newsroom

  1. Jarak pemanduan

Jika kereta pembakaran dalam bergantung kepada saiz tangki bahanapi untuk memberikan jarak perjalanan yang jauh, kereta elektrik pula bergantung kepada kapasiti bateri. Oleh sebab bateri cas semula yang digunakan masih terlalu berat, mungkin juga dengan saiz yang terlalu besar menyebabkan pengeluar kereta mungkin tidak mahu menggunakan bateri berkapasiti besar, maka menyebabkan kereta-kereta elektrik tidak mampu bergerak jauh seperti kereta enjin pembakaran dalam.

Gambar dari Aucland Transport

Gambar dari Aucland Transport

  1. Masa cas semula bateri

Jika kereta pembakaran dalam, mengisi bahanapi bagi menyambung perjalanan supaya enjin tidak mati di tengah jalan hanya mengambil masa beberapa minit. Tetapi bagi kereta elektrik, masa untuk cas semula bateri mengambil masa berjam-jam, walaupun ada yang menggunakan teknologi baharu yang membolehkan cas semula bateri hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk mengisi 50 sehingga  80 peratus dari kapasiti bateri, ianya masih jauh terlalu lambat jika dibandingkan dengan kereta pembakaran dalam yang hanya mengambil masa tidak sampai tiga minit untuk memenuhkan tangki bahanapi.

Gambar dari laman web Nissan Malaysia

Gambar dari laman web Nissan Malaysia

  1. Harga

Harga yang terlalu mahal bagi kereta elektrik masih menjadi antara penyebab kereta elektrik masih tidak mampu menyaingi kereta enjin pembakaran dalam, contohnya Nissan Leaf yang dijual di negara kita berharga RM180,000 hanya menjadi pilihan pelanggan yang mempunyai pendapatan tinggi. BAIC EV200 yang masih belum diumumkan harganya diharapkan dapat menjadi kereta elektrik yang mampu milik.

Gambar dari Green Car Report

Gambar dari Green Car Report

  1. Tempat cas semula masih berkurangan.

Kereta-kereta elektrik masih tidak mampu untuk menandingi jarak perjalanan dengan kereta enjin pembakaran dalam. Disebabkan itu penggunaan kereta elektrik lebih sesuai untuk perjalanan yang dekat atau hanya terhad di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur kerana mempunyai tempat-tempat tertentu untuk mengecas semula bateri. Perjalanan dengan kelajuan maksimum di lebuh raya juga boleh menyebabkan bateri kehilangan tenaga dengan terlalu cepat, oleh itu tempat cas semula bateri harus dibuat dengan lebih banyak bagi membolehkan penggunanya mengecas bateri kereta mereka di mana-mana sahaja, dan yang tidak kurang pentingnya adalah tidak perlu beratur panjang seperti pengguna kereta gas NGV.

Gambar dari Electric Cars Report

Gambar dari Electric Cars Report

  1. Kos bateri yang mahal

Seperti bateri cas semula yang digunakan pada telefon pintar kita, bateri kereta elektrik juga mempunyai jangka hayat tertentu. Dengan menggunakan teknologi bateri cas semula yang terkini menyebabkan harga bateri kereta elektrik menjadi terlalu mahal mencecah 5-angka, oleh itu pemilik kereta elektrik harus menyediakan sejumlah wang yang banyak jika kerosakan bateri terjadi selepas waranti bateri telah tamat.

ev

  1. Kereta elektrik masih terlalu berat.

Disebabkan bateri cas semula yang terlalu berat, kereta-kereta elektrik masih terlalu berat jika dibandingkan dengan kereta-kereta enjin pembakaran dalam yang bersaiz sama, contohnya Tesla Model S yang mempunyai berat yang melebihi dua tan menyamai berat SUV bersaiz besar. Mungkin kerana itu, kereta elektrik masih menggunakan kuasa yang banyak untuk menggerakkannya dan pembaziran tenaga telah berlaku. Disebabkan terlalu berat juga kereta elektrik sukar untuk menandingi pengendalian kereta-kereta enjin pembakaran dalam yang jauh lebih ringan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *