Berita Global

Kongsi platform dan rebadging – perkara normal

on

Percaya atau tidak, ramai yang mengambil mudah tentang industri kereta.

Kenderaan dianggap sebagai sebuah alat atau mesin biasa, seperti sebuah “blender” atau mesin vakum.

Ini ialah kerana setiap hari kita menggunakan kenderaan dan oleh kerana teknologi sudah semakin maju, percaya atau tidak, kenderaan sekarang sudah beratus kali ganda lebih lasak berbanding dengan kenderaan dua puluh tahun lalu.

Dan oleh kerana ia jarang rosak walaupun kita menggunakannya setiap hari, kita tidak terfikir bagaimana sebuah kenderaan itu dibuat.

Mari kita lihat kenapa kenderaan ini sebenarnya sebuah perkara yang kompleks:

  1. Di bawah lapisan “kulit” logam aloi kereta anda itu, ada lebih kurang 30,000 komponen yang dihasilkan oleh beratus-ratus kilang dan berpuluh ribu tenaga kerja. Dan anda terkial-kial untuk memasang alat permainan anak anda yang anda dapat percuma dengan pembelian coklat Kinder Bueno.

  1. Dengan 30,000 komponen dan setangki bahan bakar, tidak ada komponen tertanggal semasa dipandu, dan tidak seperti dongeng Hollywood, kenderaan tidak mudah meletup di dalam kemalangan, dan kesemua 30,000 komponen itu mampu bertahan untuk bertahun-tahun. Dan bumbung rumah anda yang berharga ratusan ribu bocor selepas tiga tahun.
  2. Kenderaan modern mempunyai lebih dari tiga modul komputer di dalamnya. Dan anda tidak tahu apa anda perlu lakukan bila komputer anda kaku (hang).
  3. Walaupun kenderaan mempunyai berat lebih dari satu tan, ia mampu menyerap tenaga perlanggaran dan menyelamatkan nyawa penumpang (lihat sahaja ujian NCAP). Dan anda boleh cedera parah bila terjatuh dari basikal yang bergerak hanya beberapa puluh km sejam.
  4. Kereta ialah tempat berteduh bergerak yang selesa. Walaupun dibiarkan di bawah panas terik, dipandu ketika hujan atau panas dan kadang-kadang meredah banjir, ia masih berfungsi dengan baik. Dan anda mengambil masa setengah jam untuk menaikkan khemah dan demam bila terkena hujan selama seminit setengah.

car-test

Oleh kerana kompleksnya sebuah kenderaan itu, maka kos untuk membangunkan sebuah kenderaan nyata akan menjadi tinggi.

Untuk sebuah syarikat yang besar seperti Toyota, GM dan Volkswagen, mereka mampu mempunyai jumlah penyelidik dan jurutera yang ramai. Ini antara sebab kenapa mereka mampu menghasilkan pelbagai model dalam masa setahun.

Oleh kerana jumlah jualan yang tinggi di merata dunia, mereka mampu mendapat keuntungan dalam masa yang singkat.

Bagi sebuah syarikat yang kecil seperti Proton, sedikit sukar untuk melawan gergasi-gergasi yang lain dari segi jumlah model yang dihasilkan.

Lebih dari 90 peratus kenderaan Proton dijual di dalam negara dan untuk mengeksport, masalah seperti kawalan spesifikasi, ujian asap dan harga menjadi seteru utama.

Untuk merendahkan kos, Proton tidak boleh menghasilkan sebuah model dengan sendiri sekiranya jualan model itu tidak banyak.

35823058 - rows of new cars covered in white protective layer

Barisan kenderaan untuk dieksport (gambar luar negara).

 

Pasti pakar kedai kopi akan berkata, turunkan harga, dan eksport, tetapi pakar tersebut tidak tahu tentang masalah-masalah di bawah:

  • Harga kos komponen tinggi kerana Proton tidak mempunyai jumlah yang tinggi. Untuk memudahkan “pakar” memahaminya, Toyota membina lebih 9,000,000 unit kenderaan setahun, Proton hanya 110,000 unit setahun – pastinya Toyota boleh meminta vendor mereka menurunkan harga. Selain dari itu, komponen Proton masih perlu pelaburan dari vendor dalam penyelidikan.
  • Kekangan homologasi teknikal untuk dieskport keluar. Setiap negara mempunyai halangan homologasi untuk memastikan kenderaan yang mahu dijual di dalam negara mereka mengikut spesifikasi tertentu. Korea, Jepun dan Amerika Syarikat mempunyai spesifikasi mereka sendiri. Untuk menghasilkan produk bagi negara tersebut, sejumlah pelaburan yang sangat besar diperlukan dan ia masih belum menjamin kenderaan itu akan laku terjual di dalam pasaran itu.
  • Oleh kerana kos komponen yang tinggi dan kos penyelidikan untuk lulus homologasi juga tinggi, harga kenderaan sudah tidak lagi mampu berdaya saing dengan pesaing lain di pasaran luar.
vta-car-2

Ini ialah homologasi untuk kenderaan penumpang yang mahu dipasarkan di Malaysia. Ia perlu mempunyai kesemua ini. Di negara lain, senarainya berbeza.

 

Baiklah, jadi apa boleh Proton lakukan jika mereka mahu menghasilkan kenderaan yang jumlah jualannya rendah?

Masalah ini bukan terhad kepada Proton sahaja. Ramai lagi syarikat kenderaan lain yang tidak sebesar Toyota, Volkswagen atau GM dan untuk menyelesaikan masalah itu, mereka bergabung dengan syarikat lain dan berkongsi platform.

Ada banyak contoh perkongsian platform, dan antara yang terbaik sebagai contoh ialah platform GS oleh Mitsubishi yang dihasilkan dalam tahun 2005.

Di bawah ialah senarai model kenderaan yang menggunakan platform GS itu:

2005 Mitsubishi Outlander
2007 Mitsubishi Lancer
2007 Mitsubishi Delica
2008 Mitsubishi Racing Lancer
2010 Mitsubishi RVR/ASX
2007 Dodge Caliber
2007 Jeep Compass
2007 Jeep Patriot
2008 Dodge Avenger
2009 Dodge Journey / Fiat Freemont
2007 Chrysler Sebring
2011 Chrysler 200
2007 Citroën C-Crosser/Peugeot 4007
2012 Citroën C4 Aircross/Peugeot 4008
2010 Proton Inspira

Jika anda lihat, Mitsubishi memberikan kebenaran kepada Chrysler Group (Jeep, Dodge dan Chrysler) untuk menggunakan platform tersebut. Mitsubishi juga memberikan kebenaran yang sama kepada Peugeot dan Citroen dari PSA Group Perancis untuk menggunakannya.

Dan Proton, dengan jumlah jualan paling kecil di dalam kumpulan itu, dibenarkan menjenamakan (rebadge) Mitsubishi Lancer kepada Proton Inspira.

Pastinya ada bayaran royalti dikenakan tetapi ia tetap lebih menjimatkan dari jika kita menghasilkan model itu sendiri.

Mungkin ada yang berkata penjenamaan atau rebadge ialah suatu kerja pemalas. Sebenarnya tidak. Ia ialah suatu tindakan perniagaan yang bijak kerana risiko-risiko yang mampu dikurangkan.

Contohnya, Fiat tahu ia tidak akan mampu menjual banyak trak pikap. Kerana itu, Fiat menggunakan Mitsubishi Triton yang dijenamakan sebagai Fiat Fullback dan ia tidak menghabiskan jutaan Euro untuk menghasilkan pikap itu.

Kita juga ada ada Renault Alaskan yang menggunakan badan Nissan Navara. Dan Mercedes-Benz, jenama premium dunia, turut meminjan platform Navara untuk trak pikap terbaharu mereka tahun hadapan, X-Class.

Dan untuk Proton Perdana, di mana jualannya dijangka tidak akan setinggi Saga atau Persona, Proton sememangnya perlu menggunakan konsep penjenamaan agar kos boleh direndahkan.

Namun begitu, Proton melangkah setapak ke depan dengan melakukan transformasi kosmetik ekstrem dengan Perdana 2016, di mana boleh dikatakan, ia kelihatan lebih anggun dari model Honda Accord generasi kelapan.

Komponen yang sama cuma cermin dan pintu hadapan, dan selainnya diubah untuk memberikan Perdana 2016 bentuk yang sporti dan mampu bertahan lagi lima tahun.

Dengan bentuk yang menarik dan ketahanan mekanikal Honda, bukankah itu satu pakej yang menarik?

05-proton-perdana-24l-2016-melaka-25

*Gambar dari Net Car Show dan Careta

Recommended for you

2 Comments

  1. Zent

    Nov 17, 2016 at 9:04 am

    Memang pilihan yg bijak Proton memilih Pendana 2016 dgn Honda.

  2. farizY

    Nov 21, 2016 at 1:43 pm

    Saya suka nada menyindir artikel ini!! Hahaha!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *