Hezeri Samsuri

Pilihan kenderaan Uber/Grab – kenapa hanya Iriz?

on

Terima kasih kepada Perdana Menteri kita, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana telah membentangkan belanjawan negara yang boleh dikatakan baik.

Dalam suasana ekonomi dunia yang perlahan ini, belanjawan tersebut memberi fokus untuk meringankan beban rakyat.

Saya tak mampu untuk mengulas panjang akan belanjawan tersebut kerana:

  • saya bukan pakar ekonomi
  • penat dituduh membodek walhal kita menghormati

Namun begitu, ada satu bab yang saya tertarik nak beri komen, bab di mana pihak kerajaan mahu menggunakan perkhidmatan Uber/Grab-Car untuk menambahkan pendapatan rakyat Malaysia yang berada di dalam banjaran pendapatan B40.

Seterusnya Perdana Menteri kita mengumumkan subsidi RM4,000 untuk membantu mereka yang tiada kenderaan untuk membeli Proton Iriz dan dijadikan kenderaan Uber/Grab-Car mereka.

Cadangan itu saya rasa satu yang baik, namun saya ada sedikit sahaja masalah.

iriz-uber

Kenapa hanya Proton Iriz?

Ada rakan berkata, ia mungkin kerana kerajaan tidak perlu mengeluarkan wang kerana duit rebat Iriz itu boleh dipotong terus dari pinjaman kerajaan kepada Proton.

Hmmmm … mungkin benar.

Namun begitu, seorang lagi sahabat saya yang memang lebih arif dalam bidang ekonomi pula berkata “Bangau, kalau kau faham konsep Pareto efficiency, pasti kau setuju bahawa tindakan itu kurang tepat.”

Saya pun balik dengan Pareto efficiency terngiang-ngiang di kepala. Kalau bercerita mengenai efficency in internal combustion engine itu masih boleh lagi saya gagahkan tetapi Pareto efficiency ini umpama seperti isteri saya menyuruh saya ke pasar membeli sayur sawi.

Pada saya, segala sayur berwarna hijau di pasar itu ialah sawi.

Maka seperti apa yang anak-anak saya akan buat bila terjumpa perkara yang mereka tidak fasih, saya buka Google dan cari maksud Pareto efficiency.

Kecekapan Pareto bermaksud ekonomi kebajikan – satu keadaan optimum di mana tiada lagi perubahan yang boleh menyebabkan keadaan seseorang itu lebih baik dan dalam masa yang sama, menyebabkan orang lain berkeadaan tidak baik.

Dalam usaha untuk membantu Proton, kerajaan menidakkan hak pemandu Uber/Grab-Car untuk memilih kenderaan yang lebih sesuai dengan mereka dan juga menidakan peluang syarikat kenderaan lain untuk membantu perkhidmatan tersebut.

Pada pendapat saya, Proton Iriz dengan transmisi manual ialah sebuah hatchback yang selesa dan ekonomi, sesuai untuk perkhidmatan Uber/Grab-Car. Namun begitu, ada beberapa lagi kenderaan lain yang saya sarankan sepatutnya dimasukan dalam senarai skim rebat BR1M untuk pemandu Uber/Grab-Car.

  • Proton Iriz
  • Proton Saga
  • Proton Exora/Ertiga
  • Perodua Bezza
  • Perodua Axia
  • Perodua Alza

Axia dan Iriz adalah dua buah hatchback kecil, dan sesuai untuk yang mahu memandu penumpang yang tidak membawa barang.

Saga dan Bezza mempunyai tempat letak barang yang besar, menjadikan ia pilihan praktikal kepada pemandu Uber/Grab-Car yang mahu mengambil trip perjalanan lebih jauh atau ke lapangan terbang.

Suzuki Ertiga, antara model Suzuki yang diberitakan bakal dipasang dengan jenama Proton di sini.

Suzuki Ertiga, antara model Suzuki yang diberitakan bakal dipasang dengan jenama Proton di sini.

Dan kemudian kita ada MPV Alza dan Exora/Ertiga yang sesuai untuk perkhidmatan Uber XL yang mampu memuatkan enam orang penumpang.

Sekiranya kemampuan rakyat perlu menkadi fokus utama, kenderaan paling mampu milik di Malaysia dan juga Asean ialah, Perodua Axia. Harganya bermula dari bawah RM27,000, atas jalan. Bukankah ia bermakna hutang pembeli lebih rendah jika membeli model ini?

“Tapi Bangau, mungkin sukar tawaran rebat ini diberikan kepada syarikat lain selain dari Proton kerana kerajaan terpaksa mengeluarkan wang rebat tersebut,” jelas seorang lagi rakan.

Jika itu benar, sangat menyedihkan kerana ia secara tidak langsung “menghukum” Perodua yang telah banyak membantu menghidupkan industri automotif tempatan dengan memastikan vendor-vendor komponen berdaya saing dan masih mampu wujud walaupun dalam keadaan pasaran yang perlahan ini.

Kadang-kadang saya tersenyum sinis melihat “debat” maya antara penyokong Proton dan Perodua di laman-laman sosial, termasuk di dalam Facebook Careta sendiri. Ada yang terlalu taksub, mengalahkan penyokong MU (yang mungkin masih berada di dalam gua selepas tragedi empat kosong) atau Liverpool atau JDT.

Jangan cepat melompat ya kerana taksub itu ada baiknya. Cuma, dalam hal Proton dan Perodua, cuba lihat secara logik keadaan sebenarnya. Setiap kenderaan mempunyai lebih dari 30,000 komponen dan 80 peratus komponen tersebut dibuat oleh syarikat luar – iaitu vendor.

Untuk memastikan harga kenderaan berdaya saing, harga komponen perlu terlebih dahulu berdaya saing. Dan untuk vendor memastikan harga komponen keluaran mereka berdaya saing, mereka perlukan jumlah tempahan yang besar. Contohnya, harga setin air kola lebih mahal dari anda membeli sekarton air tin itu.

Sama seperti vendor, mereka perlukan jumlah tempahan yang besar untuk memastikan harga dapat direndahkan.

Perodua Proton

Dalam ertikata lain, vendor komponen tempatan perlukan Proton, DAN Perodua untuk memastikan harga komponen lebih rendah. Kerana itu, bila Proton dalam keadaan sedikit demam tahun lalu, Perodua bangkit membantu vendor-vendor Proton kerana kebanyakan vendor tersebut turut membekalkan komponen kepada Perodua, dan syarikat kenderaan lain di dalam negara.

Dan Perodua tetap terhutang budi kepada Proton yang telah memulakan industri vendor automotif di dalam negara.

Perodua juga, dari hari pertama, memang diberikan tugasan untuk wujud bersama seorang rakan kongsi kerana itulah konsep perniagaan yang dipersetujui oleh mantan Perdana Menteri kita dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menubuhkan Perodua.

Jika Perodua mempunyai rakan kongsi untuk mendapat kelebihan dari segi teknologi produk dan pengilangan, mungkin kerajaan perlu lebih segera dalam misi pencarian rakan kongsi untuk Proton pula agar kesemuanya sama rata kerana mahu atau tidak, Proton perlu berkembang keluar dari Malaysia untuk menjadi lebih baik dan lebih kompetitif.

Proton sendiri telah membuktikan mereka mampu menghasilkan kenderaan-kenderaan modern, selamat dan selesa. Suntikan rebat untuk Uber memang menggembirakan tetapi lebih mantap jika ia dilanjutkan kepada model-model lain di dalam barisan produk Proton. Jumlah jualan bulan Oktober yang meningkat membuktikan rakyat masih percaya kepada Proton.

Myvi-Advance_Two-Tone_Front

Perodua Myvi antara pilihan pemandu Grab dan Uber di Malaysia.

Kembali kepada skim BR1M untuk pendahuluan kenderaan Uber/Grab-Car, pihak kerajaan sepatutnya berfikir panjang sebelum memilih hanya sebuah model bagi skim itu. Dan sekiranya ada kekangan kewangan untuk benar-benar menghasilkan rebat itu, mungkin kita boleh berikan sedikit pengurangan cukai untuk kenderaan yang dibeli bagi perkhidmatan Uber/Grab-Car.

Mungkin saya tidak begitu pandai memberikan nasihat ekonomi kepada pemimpin negara tetapi satu perkara yang pasti, pilihan tidak seimbang cuma akan menyebabkan aura negatif di dalam pasaran.

Sementara itu, jika anda pemandu Uber/Grab-Car, Careta ingin menemu-bual anda. Hubungi kami dengan menghantar Private Message kepada kami di Facebook.

Hezeri column 1

Recommended for you

1 Comment

  1. Amran

    Oct 26, 2016 at 7:52 am

    Kenapa Iriz? Sebab nak habiskan stok lama. Proton nak keluarkan Iriz enjin 3 mounting seperti dalam Persona 2016.. Di samping dapat membantu Proton membayar balik pinjaman mudah RM1.5B. Memang menteri kewangan kita bijak.. Win win situation!
    Hutang negara juga turun dari 54.5% dari KDNK kepada 53% dari KDNK. Namun, 1MDB masih lagi diselubungi misteri kerana terlalu banyak pihak yang terlibat dalam pengubahan wang haram. Dan pihak pengurusan tertinggi 1MDB yang bertanggungjawab masih belum disiasat & diambil tindakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *