Hezeri Samsuri

Jurnal 10: Beg udara pembunuh – kenapa jenama lain tak bising?

on

Umum sudah mengetahui akan beg udara jenis Takata yang bermasalah dan terbukti sudah membunuh nyawa.

Malaysia adalah antara negara di mana pengguna sudah arif akan isu tersebut, dan antara sebab mengapa ialah kerana Honda Malaysia aktif melakukan kempen panggil-semula (recall) untuk memastikan semua pemilik kenderaan terbabit sudah menukar unit beg udara yang defektif kepada yang baharu.

Saya juga diberitahu bahawa setakat ini, beg udara sebelah pemandu yang telah membunuh nyawa. Beg udara penumpang pula ditukarkan juga sebagai langkah berhati-hati. Dan Honda Malaysia sudah mempunyai stok beg udara lengkap untuk kesemua beg udara sebelah pemandu bagi kenderaan yang terbabit di dalam negara.

Honda-Takata-airbags-375x21

Honda Malaysia juga sentiasa membuat laporan kepada pihak JPJ akan kemajuan proses panggil-semula mereka. Honda Malaysia juga berhubung rapat dengan pihak JPJ untuk mendapatkan rekod daftar pemilik kenderaan terbabit yang sudah dijual kepada pemilik kedua atau ketiga.

Beberapa minggu lalu, Careta ada menghasilkan artikel bagaimana kempen dan usaha panggil semula oleh Honda Malaysia memakan tuan.

Honda dituduh cuai dan menghasilkan kenderaan merbahaya, kata mereka yang nyata tidak arif akan isu sebenar.

Sayang sekali kerana sebenarnya, pada hemat saya, Honda Malaysia ialah satu-satunya syarikat kenderaan yang sangat serius dalam projek panggil semula ini. Boleh dikatakan kalau Honda Malaysia tidak membuat “hingaq”, ramai yang langsung tidak tahu akan kempen panggil-semula beg udara Takata ini. Malah, agensi kerajaan pun tidak akan tahu!

Masalah isu beg udara Takata ini sebenarnya bukan dialami oleh Honda sahaja. Ia turut dialami oleh pelbagai jenama kenderaan lain. Saya ada melihat senarai jenama yang terbabit di Malaysia dan di bawah ialah syarikat-syarikat yang terbabit:

  1. Honda
  2. Toyota
  3. Mazda
  4. Nissan
  5. Mitsubishi
  6. Subaru
  7. BMW

Hampir kesemua sudah pun membuat pengumuman umum, cuma ada yang tidak kerana kenderaan yang terbabit mungkin tidak banyak dan syarikat kenderaan mampu menghubungi pemilik sendiri. Ada juga yang saya nampak bilangan kenderaan terbabit  tinggi tapi saya tak nampak pula kenyataan akhbar mengenainya. Mungkin saya terlepas pandang.

Dari sumber yang saya sangat percaya, saya juga dapat melihat peratusan untuk kenderaan yang telah digantikan beg udaranya.

22 New Accord_6 Airbags for All Variants

Tidak mengejutkan Honda Malaysia mempunyai peratusan yang paling tinggi, tetapi syarikat Jepun itu masih tidak berpuas hati dan akan terus membuat kempen sehingga peratusan itu mencapai 100 peratus.

Yang menyedihkan dan membuat saya “meroyan” ialah ada antara model kenderaan yang terbabit langsung tidak lagi dilakukan sebarang penggantian.

Contohnya, sebanyak 35,117 unit trak pikap dari sebuah jenama Jepun terbabit tetapi sehingga September 2016, tiada satu pun penggantian beg udara tersebut dilakukan. Mungkin ada masalah stok, tetapi kalau ada, harap beritahu secara rasmi agar pemilik tidak risau.

Banyak juga model yang mencatat peratusan penggantian yang sangat rendah. Sebuah model sedan segmen C contohnya, dari 1,993 unit terbabit, hanya 1.05 peratus atau 21 unit yang telah digantikan beg udara.

Ada juga sebuah jenama di mana hampir 1,000 unit kenderaan mereka terbabit, tetapi sehingga September 2016, masih lagi tidak ada penggantian dilakukan.

Mungkin proses penggantian sudah bermula sekarang dan belum lagi dilaporkan secara rasmi tetapi apa yang saya hendak nyatakan di sini ialah, kenapa hanya Honda Malaysia sahaja yang berusaha untuk melakukan penggantian beg udara Takata yang sudah pun memakan nyawa?

Kenderaan yang telah lama kemungkinan besar sudah bertukar tangan. Jika syarikat kenderaan hanya berhubung melalui telefon atau surat, kemungkinan pemilik kedua atau ketiga tidak akan dapat dikesan.

Sumber saya juga memberitahu, rekod pemilikan kenderaan di Malaysia tidak begitu diperbaharui. Malah, antara sebab kenapa Honda sering mengeluarkan kenyataan akhbar menjemput pemilik kenderaan terbabit untuk pergi menukarkan beg udara Takata ialah kerana Honda tidak dapat menghubungi ramai pemilik yang terbabit.

Saya juga berharap agar pihak polis faham bahawa bukan kenderaan Honda sahaja yang terbabit. Sekiranya kenderaan dari jenama lain yang termasuk dalam senarai panggil semula ini mengalami kemalangan, kemungkinan punca kematian pemandu akibat serpihan beg udara Takata juga perlu dikaji dan disiasat.

takataexplosion

Sekarang ini, tindakan panggil-semula dilakukan atas dasar tanggungjawab syarikat kenderaan itu sendiri. Pihak kerajaan belum lagi mewajibkan laporan panggil-semula dan proses penggantian ini diterbitkan secara umum.

Ini berlainan dari negara maju yang mewajibkan setiap panggil-semula direkodkan dan senarai panggil semua diletakan di laman web agensi berkaitan dan boleh dilihat oleh semua orang.

Bayangkan sekiranya ada masalah kronik yang mungkin akan menyebabkan kenderaan itu terbakar atau meletup. Agensi mana akan memastikan syarikat kenderaan itu melakukan pengumuman dan menarik kembali jualan kenderaan tersebut?

Bagaimana pula jika ia melibatkan kenderaan yang dibawa masuk oleh pengimport AP bebas? Bagaimana dengan kenderaan baik-pulih atau reconditioned? Siapa yang akan melakukan proses panggil semula untuk kenderaan tersebut?

Syarikat kenderaan tidak mempunyai rekod jenis dan jumlah kenderaan yang dibawa masuk oleh pengimport AP bebas. Hanya JPJ dan kastam yang mempunyai rekod tersebut namun sehingga ini jumlah sebenar kenderaan reconditioned yang dibawa masuk tidak diketahui.

Di Malaysia, dengarnya sudah ada pihak agensi kerajaan yang sedang berusaha ke arah wujudnya akta panggil semula agar kesemua masalah yang mewajibkan panggil semula ini direkodkan dan operasi penggantian dijalankan dalam tempoh masa yang segera.

leher

Gambar dari internet ini dipercayai leher mangsa yang terkena serpihan peledak dalam kes beg udara Takata.

Cuba fikirkan – adakah anda pasti beg udara di dalam stereng kenderaan anda itu tidak mampu membunuh anda?

Dan ada berapa puluh atau ratus ribu pemandu di Malaysia yang masih memandu dengan beg udara yang boleh meletup dan menikam leher dan muka mereka dengan serpihan besi?

Mungkin anda yang membaca artikel ini mempunyai risiko itu. Atau isteri anda. Atau ibubapa anda. Atau anak anda. Atau rakan anda.

Anda nampak sekarang kenapa saya meroyan?

Recommended for you

5 Comments

  1. eyna

    Oct 13, 2016 at 5:00 pm

    Congrats for the info.
    Totally agreed with the content on your concern for the safety of Malaysian Driver (affected model) which not bother to perform the said replacement in soonest time.
    As such, I already change my SRS unit( City / GM2 / 2011) but awaiting Honda Malaysia to announce the availability for the passenger side

  2. faris aiman

    Oct 14, 2016 at 4:37 pm

    Sejak dari tu ramai orang dah takut… http://www.gerobokbuku.com/

  3. stewp

    Oct 15, 2016 at 12:46 pm

    Malaysia ni malu jer yg lebih…cuba u all tengok contoh kes keracunan produk..atau kedai makan disita.. rakyat jelata ni berhak tau…. nak jaga market konon…macam mana risiko keselamatan dan kesihatan pengguna?pembeli tidak diberikan hak sewajarnya.

  4. Tanpanama

    Oct 21, 2016 at 8:28 pm

    Jenama lain pun pakai airbag takata tapi airbag takata yg jenama lain tu pakai tak bunuh orang. Airbag takata yang honda pakai jer yg bunuh org kat Malaysia. Mungkin kereta jenama lain yg pakai airbag takata x exsiden kot.. mungkin laaa

    • Hezeri Samsuri

      Oct 21, 2016 at 8:40 pm

      Tak, kita tak tahu dan tidak pasti kerana tiada siasatan dilakukan atau pengakuan. Honda Malaysia mengaku dan membantu melakukan penyaiasatan. Pihak kerajaan patut lebih pro aktif kerana ia melibatkan nyawa rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *