Apa Kata Chips?

Kenapa adanya ‘Recall’?

on

Panggilan balik (Recall) oleh pengeluar kereta bukanlah sesuatu yang luar biasa, meskipun dipandang berbeza oleh pengguna di negara-negara berlainan. Di Amerika Syarikat contohnya, pengguna sudah lama terbiasa dengan ‘recall’ memandangkan kualiti kereta Amerika berdekad yang lalu adalah teruk dan undang-undang menjadikan ‘recall’ sesuatu yang perlu dilakukan, bagi memperbetulkan kekurangan kenderaan tersebut.

Walaubagaimanapun, di Malaysia, ‘recall’ dianggap sesuatu yang negatif oleh pengguna dan memandangkan tiada undang-undang yang memaksa pengeluar kereta untuk membuat pengumuman berkenaan ‘recall’, mereka mengelak untuk melakukannya selagi boleh.

Mereka juga cuba untuk tidak menggunakan perkataan ‘recall’ dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media dan menggunakan ayat seperti ‘Special Service Campaign’, ‘Product Update’ atau ‘Service Fix’. Macam mana pun, media tetap juga menggunakan ‘recall’.

Secara peribadi, saya tidak melihat ‘recall’ sebagai sesuatu yang buruk dan menganggap syarikat yang membuat pengumuman ‘recall’ untuk beribu kenderaan adalah sebagai bertanggungjawab. Mereka sebenarnya boleh membiarkan sahaja perkara ini sekiranya kenderaan tersebut sudah melebihi tempoh jaminan memandangkan tanggungjawab juga sudah berakhir tetapi kita masih boleh melihat ‘recall’ bagi kenderaan yang malah berusia lebih 10 tahun. Biasanya, ini berkenaan keselamatan. Dalam kes seperti ini, pengeluar kereta mengganggap ia tanggungjawab mereka terhadap pemilik produk mereka – tidak kira lah berapa lama pun usianya.

Sudah tentu, syarikat kereta perlu mengeluarkan duit untuk ‘recall’. Mungkin kos alat atau sistem yang perlu ditukar dalam ‘recall’ tersebut ditanggung oleh pembekal yang membuatnya dan mungkin juga kos buruh perlu ditebus. Kemudian, terdapat juga kesan pada imej jenama, yang mungkin juga teruk atau tidak. Sementara mereka yang berada dalam industri tahu siapa pembekal tersebut, pemilik biasa mungkin tidak, dan hanya akan menyalahkan syarikat yang membuat  kereta tersebut.

EXT001-10

Ini sesuatu yang saya pelajari suatu masa dahulu berkenaan tali pinggang keledar, yang pada masa itu baru sahaja diwajibkan pada kenderaan. Unit awal yang mempunyai penggulung automatik akan menggulung kembali tali tersebut apabila tidak diperlukan. Walaubagaimanapun, sebuah syarikat tempatan yang membekalkan alat ini tidak membuatnya dengan betul, dan tali tersebut tidak masuk kembali pada kebanyakan masa, seterusnya menjengkelkan pengguna. Kebanyakan pemilik kenderaan menyalahkan syarikat kereta, sedangkan alat itu bukan dibuat oleh mereka.

Satu lagi kes adalah sistem tingkap kuasa (power window) pada lewat 1980-an dan ini adalah sebelum kes Proton lagi. Sebuah syarikat pengeluar utama memilih untuk menukar daripada modul tingkap kuasa import kepada yang dibuat di sini. Penjimatan kos sebenarnya tidaklah sebanyak mana, saya diberitahu, tetapi syarikat tersebut mahu menyokong industri tempatan. Dalam masa beberapa bulan, langkah tersebut terbukti adalah satu kesilapan kerana hampir 75 peratus modul tersebut yang berada pada kenderaan gagal berfungsi. Syarikat itu terus dengan cepat bertukar kembali kepada modul import sebelumnya.

Pengguna mungkin boleh mengatakan pengeluar kenderaan sepatutnya memastikan tiada kepincangan dan mereka memang cuba memastikannya dengan ketat. Apa yang boleh mereka kawal, seperti pemasangan dan pengilangan mereka sendiri, mereka mempunyai kawalan kualiti (QC) yang begitu ketat, dan kadar kepincangan ditolak serendah mungkin. Bagi sesetengah pengeluar kenderaan, ia boleh pergi serendah 0.05 bagi sesebuah kenderaan.

Tetapi, bagi alat/bahagian – yang ada berjuta datang dari pembekal, terdapat isu lain dan sesetengahnya adalah mustahil untuk dikawal oleh pengeluar kenderaan.

Pertamanya, alat/bahagian ini dikeluarkan dalam jumlah yang banyak dan ia masih tidak berkemungkinan untuk mendapat pengeluaran yang 100 peratus sempurna. Sesetengah alat/bahagian akan mempunyai kepincangan dan ia bergantung kepada kecekapan sistem QC untuk mengesan dan mengeluarkannya sebelum dibungkus dan dihantar ke kilang pemasangan.

Apabila terdapat alat/bahagian yang ‘terlepas’, itulah masanya ‘recall’ perlu dilakukan dan disebabkan rekod ada disimpan, mereka dapat mengenal pasti kenderaan keluaran mana yang terlibat.

Keduanya, terdapat isu kos, dan setelah sekian lama, pembekal berada di bawah tekanan untuk merendahkan harga mereka. Di sinilah kualiti mungkin berkurangan apabila ada syarikat yang menggunakan ‘cara kreatif’ untuk mengurangkan kos dan mungkin tidak begitu ketara pada pengeluar kenderaan.

Ada kalanya, pembekal ini merasakan mereka tidak mempunyai pilihan; mereka begitu bergantung pada satu pengeluar kenderaan. Jadi, apabila kehilangan kontrak pembekalan kerana tidak dapat mengeluarkan alat yang murah, perniagaan mereka boleh ditutup. Jadi, mereka lakukan apa yang boleh demi menyelamatkan kontrak mereka.

Tetapi, ada masanya, pengeluar kenderaan juga boleh disalahkan kerana mereka mengkehendaki harga yang terlalu rendah, bagi memastikan kenderaan mereka boleh dijual pada harga yang kompetitif. Keutamaan diberi kepada kos, melebihi kualiti, jadi mereka memilih alat/bahagian yang murah, tetapi mungkin tidak begitu berkualiti dan boleh gagal dalam masa yang singkat.

Jika kegagalan ini terlalu banyak, pengeluar kenderaan perlu melakukan ‘recall’ bagi ribuan kenderaan dan mengganti alat/bahagian tersebut- yang mana adalah kos tambahan dan boleh memakan habis kadar keuntungan mereka.

Pengeluar kenderaan yang sudah berada dalam industri ini untuk tempoh lama tahu bagaimana untuk memberi tekanan kepada pembekal mereka untuk menjimatkan kos sebelum ia jadi tidak munasabah. Tetapi, mereka sendiri juga boleh mendapat masalah kualiti apabila cuba menggesa pengeluaran di kilang tanpa perancangan yang betul.

Dalam masa 10 tahun yang lalu, terdapat pengakuan secara berlapik daripada pengeluar kenderaan yang menyatakan isu kualiti yang membawa kepada ‘recall’ ini boleh jadi disebabkan oleh pengeluaran kilang yang dipertingkat secara melampau untuk mengalahkan saingan mereka. Tekanan kepada masa pengeluaran menyebabkan pekerja kurang perhatian terhadap kualiti dan akhirnya menyebabkan masalah dan membawa kepada ‘recall’.

Bagaimanapun, ‘recall’ bermaksud sebagai mesej penting daripada pengeluar kenderaan supaya pemilik boleh membawa kenderaan mereka dan menukar alat/bahagian yang tidak sempurna tersebut. Ramai warga Malaysia yang tidak memandang perkara ini sebagai sesuatu yang serius dan meletakkan diri sendiri dalam risiko. Ini jelas ditunjukkan dalam kes ‘recall’ beg udara Honda, di mana saya diberitahu hanya 30 peratus kenderaan yang dipanggil semula ini datang untuk penukaran. Honda Malaysia telah melakukan langkah yang cukup baik bagi mengatasi masalah ini tetapi sekiranya pemilik tidak memberi maklum balas dan berlaku sesuatu yang tidak diingini nanti, mereka tidak boleh dipersalahkan.

Jadi, jika kenderaan anda terlibat dalam ‘recall’ atau panggilan semula, periksa terus dengan pusat servis atau hubungi pengeluar secepat mungkin. Jangan berlengah lagi. Jika ia adalah beg udara, anda tidak tahu bila anda akan terlibat dalam kemalangan dan ia mungkin boleh menyebabkan kematian.

*Artikel ditulis oleh Chips Yap dan dialih bahasa oleh Durrani Sharom.

Recommended for you

3 Comments

  1. faris aiman

    Jun 8, 2016 at 9:05 pm

    OOo tu sebabnya… http://www.gerobokbuku.com/

    • anon

      Jun 17, 2016 at 4:02 pm

      tapi bila proton buat recall abis bising satu malaysia..
      kalau jenama lain buat recall,melambung puji..
      oh mentaliti..

  2. Pingback: Yamaha Jepun panggil-balik YZF-R25 – CARETA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *